Sunday, February 22, 2009

Episod 21: 'Perpecahan' Dorm A7

Sekitar Tahun 1999
Lokasi: Dorm A7, Aspura, Blok A, Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun, Ipoh

Malam itu sepi.

Suasana gelap gelita di luar bilahan-bilahan tingkap dorm seolah-olah 'turut bersama' menyelubungi serta membungkam perasaan setiap ahli dorm A7 pada tengah malam itu. Kesemua ahli dorm A7, baik yang junior mahupun yang senior telah pun bersiap sedia berkumpul dalam bentuk 'bulatan' di tengah-tengah kawasan dorm. Ada yang bersandar di palang katil, tak kurang juga yang bersandar di tepi loker umum. Masing-masing melayan perasaan sementara menanti kehadiran Ketua Dorm; Abang Ojan (Fauzan, Senior Form 5). Putaran kipas di siling yang ligat berdansa menyemarakkan rasa dingin salju pada malam 'bersejarah' tersebut.

Kelihatan Normin (Chiko) asyik menggaru kepalanya sambil di badannya setia berselimutkan selimut biru laut asrama. Junior-junior Form 1 yakni Fariz Hamidi dan Azim leka menahan kelopak-kelopak mata mereka dari terus terlelap. Kelihatan beberapa titis air terus-menerus jatuh daripada gantungan-gantungan baju Kadok yang baru sahaja di basuh di palang katilnya. Gelagat Arif (Junior Form 2) yang gigih menggigit kuku-kukunya mengundang usikan senior-senior Form 4 dan 5.

Malam itu bukan seperti malam-malam yang biasa buat kami. Ia malam yang 'luar biasa'.

Umum mengetahui dorm kami, iaitu A7 bakal dijadikan 'dorm pengawas'. Ini bermakna kesemua ahli-ahli dorm kami yang bukan pengawas dikehendaki 'berpecah' dan diarahkan masuk ke dorm-dorm lain.

Tatkala mendapat tahu mengenai berita ini, pelbagai perasaan muncul.

Keliru. Dan sedih.

3 tahun aku bermastautin di dorm ni. Jatuh bangunnya aku di Bainun bermula di dorm ini. Dalam sekelip mata, malam ini merupakan malam terakhir aku akan bermalam di sini.

"Assalammualaikum semua.."

Suara garau abang Ojan menyentak lamunan. Sambil bersila, abang Ojan merapati kumpulan kawanan kami. Kain pelikat merahnya disisip rapi di bawah selimpangan lututnya itu. Anak matanya memerhatikan setiap satu wajah-wajah kami. Lama abang Ojan diam. Sekali-sekala terdengar dengusan helaan nafasnya yang panjang.

"Aishh.. Jangan la serius sangat kome ni.. Hehe"

Seloroh abang Ojan secara tidak langsung membantu terbitnya ukiran senyuman di setiap bibir ahli-ahli dorm ketika itu. Walaupun pada saat itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu rasa berkecamuk menghantui dalam diri masing-masing.

"OK, sepertimana yang kite semua maklum, arahan dah keluar. So, malam ni merupakan malam terakhir la kite semua dapat kumpul macam ni. Lepas ni, esok pagi, masing-masing akan ke dorm baru masing-masing. Jadi, di kesempatan ni, aku nak mintak maap banyak-banyak kalo ade selalu buat korang sume bengang. Aku mengaku aku seronok sangat duduk dengan semua.. Tapi tu lah, nak buat macamane.. Apepun, semoga korang happy la kat dorm baru. Walau apepun, lepas ni, kite tetap A7. Bawak diri elok-elok kat dorm orang lain tu nanti.."

Pesanan dan amanat terakhir abang Ojan sebagai Ketua Dorm kami terus melewati setiap minit di jarum jam dinding. Semua pasangan telinga dan mata mendengarnya dengan khusyuk.

"Ok, Kadok. Kamu start bagi ucapan. Lepas tu follow la dengan yang lain lak".

Seorang demi seorang mengambil 'alih' peluang untuk berucap dan meminta maaf. Suasana bertukar menjadi sebak dan bunyi esakan teriakan kadang-kala mewarnai 'perhimpunan terakhir' kami pada malam itu. Terasa begitu akrabnya kami. Suka duka silih berganti. Banyak kenangan gembira dan pahit kami tempuhi bersama.

"Lepas ni dah tak dapat la buat pertandingan skipping lagi..", pintas Kadok.

Aku bakal menghuni dorm A4. Jamil (Jamon) di A2. Normin (Chiko) di A10.

Ahli-ahli dorm yang lain akan turut 'bertaburan' di segenap inci blok A selepas ini.

(paused)

Malam itu aku tak dapat tidur. Berdebar menanti hari esok. Aku cuba melelapkan mata, tetapi gagal.

bersambung ................


Originally composed by: muzem (muazam yunus, bainunians '97-'99)

No comments: