Sekitar tahun 1999
Lokasi: Perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak
Petang itu, seperti biasa aku bersiap-siap untuk solat maghrib berjemaah di surau sekolah yang terletak bersebelahan blok C, Aspuri. Setelah mengenakan butang baju Melayu, aku lantas mencapai dompet Billabong yang terletak di dalam laci loker. Hanger baju-baju di rapatkan ke sisi kanan loker. Sabun basuh dan berus plastik yang masih basah diletakkan di atas beranda koridor dorm.
Matahari semakin pudar dalam menumpahkan sinarnya. Sayup-sayup kelihatan beberapa ekor burung hinggap di atas talian elektrik yang merentasi dari blok A (Aspura) ke blok setingkat Tingkatan 5.
"Jom Muazam, kite gerak.. Boleh lepak-lepak sat kat padang sekolah.."
Aku menghela nafas panjang. Jam di dinding dorm menujukkan jam 6.40 petang.
Aku dan Jamil (Jamon) menuruni anak-anak tangga menuju ke arah padang sekolah. Beberapa orang senior Form 5 sedang melepak di bilik tayangan blok. Kusyen dan kerusi bergelimpangan di segenap inci bilik tersebut.
"Syoknye petang ni.. Aman je rase", luah Jamon tatkala kami sampai dan duduk di kerusi batu yang terletak bertentangan dengan padang sekolah. Kedudukan 2 buah kerusi batu itu sangat strategik memandangkan ia dikhususkan untuk beristirehat sambil menikmati panorama alam sekeliling di Bainun. Di dada kerusi jelas tertera ukiran tulisan 'IHSAN DARI P.I.B.G SMRPB'.
"Kejap je kan mase berlalu.. Dah nak abis Form 3 dah. Pak hang mai ambik hang bila?" tanya Jamil seraya mencabut kemuncup di kaki seluar slack kelabunya itu.
"Tu la, jap je rase.. Aku cuak gak ni tunggu result.. Nanti aku balik naik bas je kot. Minggu ni bapak aku mai angkut semua barang."
Dari jauh penghuni-penghuni blok D masing-masing leka menjalani rutin harian. Ada yang masih 'bersidai' di beranda koridor, tak kurang juga bergegas ke tandas dan ada yang sedang menuruni tangga. Kelihatan juga Cikgu Ramli sedang menuju ke rumahnya yang turut terletak di deretan aras blok D.
Sambil mengamati suasana pada petang itu, aku dan Jamon banyak berbual-bual tentang sesi kehidupan yang telah kami lalui sepanjang 3 tahun di bumi Bainun ini. Rasa seperti baru sahaja semalam mendaftarkan diri sebagai pelajar Bainun. Realitinya, kesemua kertas-kertas peperiksaan PMR telah pun 'berjaya' dilunaskan pada minggu yang lalu.
Bunyi alunan 'zikir' yang keluar dari PA Sistem surau menggamit langkahan kaki ke surau. Sepanjang perjalanan ke surau, aku dan Jamon 'bertanding' menandingi antara satu sama lain dengan cuba menyentuh palang-palang besi yang terletak atas laluan koridor berbumbung tersebut. Beberapa orang junior Form 1 melintasi kami berdua.
"Tengok ni, aku takyah loncat pun.. Haha".
Di surau, sudah ramai junior-junior Form 1 dan Form 2 memenuhi isi perut surau. Aku bingkas menuju ke arah tempat mengambil wuduk. Pili air dibuka lalu mengalirlah air dengan lajunya.
"Hai abg Muazam", sapa junior Form 1 ex-dorm aku, Fariz Hamidi. Aku cuma membalasnya dengan mengangkat kening. Setelah meletakkan selipar di tempat yang 'selamat'; iaitu di tepi belakang pintu surau aku terus menuju ke saf tengah-tengah surau.
Karpet surau yang berwarna hijau muda dan berlompang-lompang mewarnai laluan langkahan kaki. Sesekali kaki ini terseradung dengan gulungan karpet yang kelihatan sudah agak uzur tersebut.
"Panasnye hari ni.. Tepi sikit weh.." Aku mendampingi kelompok Rodhu, Fairuz (Jonos) dan Azmen (Mental) yang kebetulan sedang duduk di bawah kipas. Air wuduk yang masih bergenang di muka di lap menggunakan tangan.
Abg Nasri Yunos (Ketua Umum, Form 6) sedang khusyuk membetul-betulkan mikrofon. Sesekali tangannya diketuk-ketukkan di bahagian 'kepala' mikrofon itu untuk memastikannya berfungsi. "Testing.. testing.. 1, 2, 3.."
"Allahhu Akbar, Allahu Akbar~.."
Azan bergema.
Keriuhan dan kemeriahan gema warga Bainun pada petang itu bertukar statik. Di luar, hanya bunyi aliran air wuduk yang kedengaran.
"Luruskan saf, rapatkan saf...."
Suara garau imam oleh senior Form 5 blok D mencatur pergerakan barisan-barisan saf. Semua mata kini asyik memastikan kelurusan kaki masing-masing dalam saf yang 'separuh senget' terbabit.
"Ke depan sikit Muazam", pinta Shahrul Rizan (Onn) sambil tangannya menepuk-nepuk belakang badan aku.
"Allahhu Akbar~..."
Takbirratul ihram diangkat; menandakan bermulalah solat Maghrib pada lewat sore itu. Namun, yang pasti, masih ramai baru sampai ke surau. Bunyi tapak-tapak kaki masih jelas kedengaran dan akhirnya berhenti setelah tapak-tapak kaki itu masuk ke dalam saf..
"Sami'allahuliman hamidah"..
bersambung.............
Originally composed by: muzem yunus (muazam yunus, bainunians '97-'99)

No comments:
Post a Comment