Thursday, February 26, 2009

Emmimians: 10 years after.

17552_1308963118398_1060192871_992154_6818439_n

Gambar 1998: Kelas 2M
(Watak-watak penting blog 'Kenangan Di Bainun' ni)

22763_107305572612869_100000002794982_196674_6134978_n

Gambar 2009: Gathering Emmimians '97-'99
di Excelsior Hotel, Ipoh @ 26 Disember 2009.
(Walaupun tak semua yang dapat hadir, tapi gathering ni tetap mengasyikkan dengan kehadiran our beloved class teacher, Miss Ha!)

Wednesday, February 25, 2009

Episod 24: Petang Maghrib di SMRPB

Sekitar tahun 1999
Lokasi: Perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak

Petang itu, seperti biasa aku bersiap-siap untuk solat maghrib berjemaah di surau sekolah yang terletak bersebelahan blok C, Aspuri. Setelah mengenakan butang baju Melayu, aku lantas mencapai dompet Billabong yang terletak di dalam laci loker. Hanger baju-baju di rapatkan ke sisi kanan loker. Sabun basuh dan berus plastik yang masih basah diletakkan di atas beranda koridor dorm.

Matahari semakin pudar dalam menumpahkan sinarnya. Sayup-sayup kelihatan beberapa ekor burung hinggap di atas talian elektrik yang merentasi dari blok A (Aspura) ke blok setingkat Tingkatan 5.

"Jom Muazam, kite gerak.. Boleh lepak-lepak sat kat padang sekolah.."

Aku menghela nafas panjang. Jam di dinding dorm menujukkan jam 6.40 petang.

Aku dan Jamil (Jamon) menuruni anak-anak tangga menuju ke arah padang sekolah. Beberapa orang senior Form 5 sedang melepak di bilik tayangan blok. Kusyen dan kerusi bergelimpangan di segenap inci bilik tersebut.

"Syoknye petang ni.. Aman je rase", luah Jamon tatkala kami sampai dan duduk di kerusi batu yang terletak bertentangan dengan padang sekolah. Kedudukan 2 buah kerusi batu itu sangat strategik memandangkan ia dikhususkan untuk beristirehat sambil menikmati panorama alam sekeliling di Bainun. Di dada kerusi jelas tertera ukiran tulisan 'IHSAN DARI P.I.B.G SMRPB'.

"Kejap je kan mase berlalu.. Dah nak abis Form 3 dah. Pak hang mai ambik hang bila?" tanya Jamil seraya mencabut kemuncup di kaki seluar slack kelabunya itu.

"Tu la, jap je rase.. Aku cuak gak ni tunggu result.. Nanti aku balik naik bas je kot. Minggu ni bapak aku mai angkut semua barang."

Dari jauh penghuni-penghuni blok D masing-masing leka menjalani rutin harian. Ada yang masih 'bersidai' di beranda koridor, tak kurang juga bergegas ke tandas dan ada yang sedang menuruni tangga. Kelihatan juga Cikgu Ramli sedang menuju ke rumahnya yang turut terletak di deretan aras blok D.

Sambil mengamati suasana pada petang itu, aku dan Jamon banyak berbual-bual tentang sesi kehidupan yang telah kami lalui sepanjang 3 tahun di bumi Bainun ini. Rasa seperti baru sahaja semalam mendaftarkan diri sebagai pelajar Bainun. Realitinya, kesemua kertas-kertas peperiksaan PMR telah pun 'berjaya' dilunaskan pada minggu yang lalu.

Bunyi alunan 'zikir' yang keluar dari PA Sistem surau menggamit langkahan kaki ke surau. Sepanjang perjalanan ke surau, aku dan Jamon 'bertanding' menandingi antara satu sama lain dengan cuba menyentuh palang-palang besi yang terletak atas laluan koridor berbumbung tersebut. Beberapa orang junior Form 1 melintasi kami berdua.

"Tengok ni, aku takyah loncat pun.. Haha".

Di surau, sudah ramai junior-junior Form 1 dan Form 2 memenuhi isi perut surau. Aku bingkas menuju ke arah tempat mengambil wuduk. Pili air dibuka lalu mengalirlah air dengan lajunya.

"Hai abg Muazam", sapa junior Form 1 ex-dorm aku, Fariz Hamidi. Aku cuma membalasnya dengan mengangkat kening. Setelah meletakkan selipar di tempat yang 'selamat'; iaitu di tepi belakang pintu surau aku terus menuju ke saf tengah-tengah surau.

Karpet surau yang berwarna hijau muda dan berlompang-lompang mewarnai laluan langkahan kaki. Sesekali kaki ini terseradung dengan gulungan karpet yang kelihatan sudah agak uzur tersebut.

"Panasnye hari ni.. Tepi sikit weh.." Aku mendampingi kelompok Rodhu, Fairuz (Jonos) dan Azmen (Mental) yang kebetulan sedang duduk di bawah kipas. Air wuduk yang masih bergenang di muka di lap menggunakan tangan.

Abg Nasri Yunos (Ketua Umum, Form 6) sedang khusyuk membetul-betulkan mikrofon. Sesekali tangannya diketuk-ketukkan di bahagian 'kepala' mikrofon itu untuk memastikannya berfungsi. "Testing.. testing.. 1, 2, 3.."

"Allahhu Akbar, Allahu Akbar~.."

Azan bergema.

Keriuhan dan kemeriahan gema warga Bainun pada petang itu bertukar statik. Di luar, hanya bunyi aliran air wuduk yang kedengaran.

"Luruskan saf, rapatkan saf...."

Suara garau imam oleh senior Form 5 blok D mencatur pergerakan barisan-barisan saf. Semua mata kini asyik memastikan kelurusan kaki masing-masing dalam saf yang 'separuh senget' terbabit.

"Ke depan sikit Muazam", pinta Shahrul Rizan (Onn) sambil tangannya menepuk-nepuk belakang badan aku.

"Allahhu Akbar~..."

Takbirratul ihram diangkat; menandakan bermulalah solat Maghrib pada lewat sore itu. Namun, yang pasti, masih ramai baru sampai ke surau. Bunyi tapak-tapak kaki masih jelas kedengaran dan akhirnya berhenti setelah tapak-tapak kaki itu masuk ke dalam saf..

"Sami'allahuliman hamidah"..

bersambung.............

Originally composed by: muzem yunus (muazam yunus, bainunians '97-'99)

Tuesday, February 24, 2009

Episod 23: Minggu Peperiksaan PMR 1999

Tahun 1999
Lokasi: Sekitar perkarangan Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak

"Camane weh English Paper 1 tadi?" tanya Zuhaili (Ely) pade aku sambil tangannya mengibas-ngibas blazer maroon pengawasnya itu. Di tangan kanannya erat memegang gulungan kertas soalan Bahasa Inggeris (Kertas 1) dan beberapa batang pensil 2B.

"Boleh la, cume aku risau sikit part Comprehension tadi. Banyak jawapan keliru. Confuse sikit la.."

"Tu la, aku pun same. Comprehension cam payah syiall.." Celah Jamil (Jamon). Kertas soalan tadi dilipat-lipat sehingga menjadi bentuk segiempat tepat dan dimasukkan ke dalam poket seluar hijau mudanya. Sesekali tali leher sekolah yang berwarna merah ke-maroon-an itu menjadi peneman setia sebagai pengelap peluh yang mula terbit di dahi.

Kami bertiga mengatur langkah menuju ke kantin sekolah. Bangsal stor bercat biru yang menempatkan semua kerusi-kerusi dewan yang terletak di sebelah kanan koridor berbumbung ke kantin kelihatan sangat usang.

Di kantin, rata-rata calon PMR Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun telah pun duduk di kerusi panjang kantin dan berbual-bual sesama sendiri bagi meredakan resah gelisah. Aku, Jamon dan Ely menyertai kelompok bebudak lelaki kelas kami yang asyik berbual di bawah pokok-pokok rendang berhampiran dengan court bola keranjang berhadapan kantin.

"Aku cuak weh, Sejarah tak habis cover lagi ni.. Adehh, masak la aku.." Keluhan Normin (Chiko) mencelah suasana. Sesekali ludahan air liur yang keluar dari mulutnya itu mengena tepat ke arah anak-anak rumput yang segar menghijau.

"Rilek la weh.. Jawab je.. Macam Cikgu Odin cakap, Sejarah ngan paper-paper objektif yang lain takyah risau.. Jawapan memang dah ade.. Cume nak kene pilih je.." balas Hisham (Sayong) lalu mengundang gelak kecil dalam kumpulan kami.

"Haa... POWER!!". Kelibat Zulkarnain (Che'Bu) menyusul sambil ditangannya memegang bekas pensil yang di'ubah suai' dari bekas video-tape. "Haa, rodok!!" Balas Sayong seraya mengajukan satu tumbukan padu ke arah perut Che'Bu. Tali pinggang putih Alien Workshopnya itu jelas bergentel-gentel di tepi seluar slack yang ditempah khas di kedai 'The Guys'.

"Aku nak pi toilet jap la.. Jom Jamon, pi basuh muka sat".

Aku dan Jamon meluru ke arah tandas pelajar lelaki yang terletak di blok berhampiran Medan Susila. Kelihatan Cikgu Arjimi dan Pengetua kami, Encik Ismail Mad Desa sedang berbual-bual di hadapan Bilik Permaisuri. Ketika melintasi koridor di area Bilik Guru, kami terserempak dengan Miss Hanida (Miss Ha) yang kebetulan mahu keluar dari bilik guru tersebut menuju ke kelas.

"How's the paper dear?"

"Ok la teacher, but some questions a bit confused"

"Never mind, do your best for your paper 2. Remember, the questions that needs formats such as reports and formal letter will help you to get more marks easily.. Good luck then"

"Ok teacher.."

Aku dan Jamil terus menuju ke tandas. Semasa di tandas, aku mengambil peluang untuk berkumur dan membasuh berkali-kali muka yang sudah kelihatan agak lembam. Sinki yang sudah 'di cemari' dengan bekas-bekas warna air (water-colour) tampak berwarna-warni dengan coraknya yang tersendiri. Pili air ditutup rapi dan kami berdua kembali ke kantin.

"Woi Muazam, semangat jek aku tengok hang jawab tadi. Pulun bebenor sampai meja goyang-goyang"; sindir Shazni (Parotek) yang duduk bersama-sama Zatil dan Rahmah (Ema) ketika aku dan Jamon sampai di kelompok bebudak perempuan kelas kami. Ilyani (Yani Khalid) kelihatan sedang asyik menatap buku poket kecil 'Penguat Memori PMR Sejarah' terbitan Sasbadi sambil mengunyah biskut.

Aku menyucuk-nyucuk bahu Parotek menggunakan pembaris oren Masdilla (Dole). Zahrati (Zah) sedang berbual dengan Atak di meja yang bertentangan. Noraini (Nonoi) dan Najwa turut ralit mendengar perbualan antara Zah dan Atak tersebut.

"OK, semua calon diminta berbaris semula.."

Suara lantang Puan Nihayatun sekali lagi memecah suasana. Jam Boy London di tangan menunjukkan tepat jam 9.25 pagi. Kertas Bahasa Inggeris (Kertas 2) bakal menyusul dalam masa lebih kurang 20 minit lagi.

Dengan langkah yang penuh berhati-hati, aku dan rakan-rakan se-batch menyusuri lantai kasar berwarna kelabu menghala ke dewan besar sekolah.

"Bismillahirrahmanirahim..." Kaki kanan aku mendahului alunan langkah kaki kiri masuk ke dalam dewan.

bersambung ...................

Originally composed by: muzem yunus (muazam yunus, bainunians '97-‘99)