November 1999
Lokasi: Sekitar kantin dan Dewan Besar Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun, Ipoh
Pagi itu hujan renyai-renyai. Jalan tar yang 'menyelimuti' hampir 70% di kawasan lapangan sekolah ini berkeadaan agak lembap dan basah. Jam jenama Swatch di tangan menunjukkan tepat jam 7.05 pagi. Aku, Jamil (Jamon) dan Hisham (Sayong) mengatur langkah ke kantin sekolah setelah selesai membuang sisa-sisa roti 'berjemkan' mentega kuning pekat di dalam tong sampah besar dewan makan.
Pagi itu perut seolah-olah tidak mampu menelan kesemua santapan yang dihidangkan oleh pekerja dewan makan. Kunyahan juga tidak lancar seperti lazimnya. Hanya 1/4 daripada roti keras kematu itu 'berjaya' menjadi pemastautin perut. Fokus tumpuan kini lebih tertumpu dan 'melayang' kepada 'agenda' yang lebih penting pada pagi tersebut.
Hari itu hari Isnin, bertarikh 1 November 1999. Hari pertama bagi permulaan kertas-kertas Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah bagi tahun 1999.
Sewaktu kami bertiga melintasi laluan koridor beratap di kalangan kelas pelajar-pelajar Tingkatan 5, kami disapa oleh beberapa orang abang dan kakak-kakak senior yang tidak putus-putus mengucapkan "Good Luck". Jauh disudut hati, kami sangat hargai ucapan dan kata-kata semangat itu walaupun hanya membalasnya dengan senyuman.
Malam semalam ketika prep malam, semua pelajar-pelajar Tingkatan 3; baik dari kelas S, M, R, P dan B 'berarak' dalam kumpulan kelas masing-masing dan mengelilingi ('tawaf') semua kelas-kelas yang terdapat di Bainun untuk sesi memohon maaf dan memohon restu dalam mencapai kejayaan dalam peperiksaan PMR. Slot ini merupakan satu tradisi Bainun yang 'unik' dan antara 'aktiviti' yang ditunggu-tunggu oleh semua warga Bainun setiap kali menjelangnya tarikh-tarikh peperiksaan awam. Aku tersenyum sendirian pabila terkenangkan aku dan adik angkat-ku, Rosma Nadia 'diusik' oleh rakan-rakan kelas supaya masing-masing menjadi 'wakil' kelas untuk berucap semasa sesi bermaafan di kelas 2S malam tadi.
Langkah kami dikecilkan ketika kami melewati blok kantin sekolah. Kelihatan sudah ramai calon-calon PMR yang sudah sedia ada di kantin sekolah. Masing-masing mempamerkan pelbagai reaksi di wajah. Ada yang mulutnya kelihatan terkumat-kamit membaca doa dan jampi serapah. Tak kurang juga yang asyik membelek buku nota SKOR A PMR Sejarah; walaupun hakikatnya pada pagi itu merupakan 'turn' untuk kertas Bahasa Melayu (Kertas 1).
Aku, Jamon dan Sayong merapati kumpulan Zuhailee (Ely), Husni (Uni) dan Safarizal (Safa) yang duduk di bahagian tengah-tengah kantin. "Weh Sayong, yang mane betul ek? 'dari semasa ke semase' ke atau 'dari mase ke semase'? Aku konpius laa.." Celahan Syah (Syaharmi) memecah kekalutan perbualan kami berenam ketika itu. Di tangan Syah sarat dengan beberapa batang pensil 2B, pemadam dan slip kemasukan peperiksaan PMR yang sudah siap di'laminate'. Sayong yang memang terkenal sebagai 'pakar' Bahasa Melayu dalam kelas 3M terus berhujah. Seperti biasa, Sayong tetap gigih menerangkannya dengan wajah yang bersemangat waja dan goyangan tangan yang jitu. ops*
Azhar (Cak'a) dan Balun (Kelas 3S) melintas di belakang kelompok kami menuju ke sinki. Kelihatan Shahril (Otet) sedang berbual-bual bersama Putri Azrin dan Nanie.
"OK, semua calon diminta beratur di hadapan sini mengikut kelas". Suara nyaring Cikgu Nihayatun yang menggunakan healer mengundang sepi. Masing-masing bergerak dan bunyi tapak-tapak kasut yang bergesel dengan lantai kantin sekolah kadang-kala 'mengilukan' telinga ini.
Aku beratur di belakang Amir Bad dan di tepi Zahrati (Zah). Ilyani (Yani) yang berbaris di hadapan Irmahani (Irma) kelihatan tenang sambil sesekali tangannya membetulkan posisi tudung. K-oi mengetuai barisan pelajar lelaki kelas 3M, sementara Erni Safura (Erni) mengepalai barisan pelajar perempuan 3M.
"OK, Amir Zunnasri, baca doa"
"Bismillahirahmanirahim...."
Doa pun dibaca. Seramai hampir 170 mulut mengaminkan doa memohon dipermudahkan urusan pada pagi itu. Tapak kaki ini terasa sangat berat untuk melangkah ketika tiba di hadapan pintu dewan besar sekolah. Suasana di dalam dewan sangat tenang. Meja-meja berwarna coklat dan kerusi-kerusi (..walaupun berkarat, ops*) tetap setia mewarnai 'keindahan' dewan pada pagi yang hening itu.
"GOOD LUCK!" Ucap Shazni (Parotek) sambil mengetuk meja aku ketika dia melintasi menuju mejanya di belakang. Aku mula menyusun pensil-pensil 2B dan pemadam di atas meja. Kad pengenalan dan slip kemasukan peperiksaan aku sematkan rapi di hujung kanan sebelah meja.
Sambil mendengar penerangan dari Ketua Pengawas Peperiksaan, aku mengamati suasana dalam dewan. Aku tenung sepintas lalu gelagat rakan-rakan se-'batch'.. Bagaikan masih di dalam mimpi, kami semua sudah pun 'duduk' di kerusi besi ini sebagai calon PMR di dalam dewan besar. Hari ini bermulalah 'episod' penentuan terhadap keberhasilan pengajian kami selama 3 tahun di Bainun. Bagi kami, PMR amat penting, kerana ia menentukan samada kami akan 'stay' di Bainun ataupun tidak.
"Baiklah, semua calon boleh mula menjawab sekarang. Ikut jam depan ni ya. Kertas ini akan berakhir tepat jam 9.15 pagi."
Dengan lafaz 'Bismillahirrahmanirrahim', aku mula membuka muka surat pertama kertas Bahasa Melayu terbabit. Terdapat 60 soalan objektif yang mesti aku lunaskan dalam tempoh 1 jam 15 minit.
Dari satu soalan, aku mula beralih ke soalan-soalan yang lain. Dari bahagian pemahaman, aku mula beralih ke bahagian tatabahasa.
Tangan ligat melorekkan jawapan-jawapan di kertas OMR.
"Ya Allah.. Permudahkanlah urusan kami semua.."
bersambung..............
originally composed by: muzem yunus (muazam yunus, bainunians '97-'99)

No comments:
Post a Comment